Kamus Dewan Perdana Book

Pengenalan

Portal Kamus Dewan Perdana merupakan inisiatif digital oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dalam mewujudkan platform kamus rujukan bahasa Melayu yang paling terkini, komprehensif, berwibawa dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat dalam dan luar negara. Sebagai kesinambungan kepada Kamus Dewan yang telah menjadi rujukan utama sejak tahun 1970, Kamus Dewan Perdana yang diterbitkan pada tahun 2020 memperluas cakupan perbendaharaan kata bahasa Melayu.

Kamus Dewan Perdana merupakan kamus bahasa Melayu yang pertama di dunia yang memanfaatkan data korpus dan data Internet sebagai sumber data utama dalam penyusunannya. Ia mengandungi lebih 120 000 entri dan subentri, yang lengkap dengan pelbagai kata umum, istilah, dialek dan kata bahasa serumpun dengan memasukkan maklumat seperti sebutan, ejaan Jawi, kelas kata dan etimologi, yang menjadi tanda aras perkembangan kosa kata bahasa Melayu.

Portal ini bukan sahaja ditujukan kepada pelajar, pendidik dan penyelidik, malah kepada orang awam memerlukan rujukan bahasa yang tepat dan sahih. Sebagai sebahagian daripada agenda transformasi digital DBP, portal ini melambangkan usaha ke arah pendemokrasian ilmu bahasa serta memacu pembangunan teknologi linguistik tempatan dalam ekosistem digital negara.